Saturday 16 July 2011

Relay For Life di UKM Bangi

Seperti tahun-tahun yang lalu, program "Relay For Life" muncul kembali. Kali ini dibuat di Kompleks Sukan UKM. Tujuannya memberikan sokongan dan melahirkan kegembiraan di kalangan pengidap kanser, terutamanya kanser payudara. Program ini memberi keyakinan kepada pesakit bahwa kanser payudara boleh diobati kalau dikesan pada peringkat awal.
Ketika saya ke sana petang tadi, khemah-khemah sudah didirikan dalam dua barisan yang indah sekali dan ada beberapa khemah di lereng bukit kompleks sukan itu. Semuanya ingin memberikan sokongan padu kepada semua pesakit dan bekas pesakit agar keyakinan mereka tetap utuh bahwa kanser boleh diobati dan usaha ke arah pengobatan yang sistematik perlu dilakukan sejak awal dan usaha pencegahan perlu disemarakkan. Peserta akan bermalam di khemah-khemah yang disediakan sehingga jam 10 pagi, 17 Julai 2011.
Peserta relay terdiri dari berbagai pihak yang bersimpati dengan program ini dan mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung. Semoga usaha ini mendapat sambutan yang mengalakkan dari masyarakat sambil menyedarkan masyarakat tentang usaha pencegahan awal penyakit ini.
Sambil itu kami menyeru kepada suami-suami yang isterinya mengidap kanser ini untuk terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih bersemangat. Ajaklah mereka ke pertemuan-pertemuan kumpulan sokongan yang diadakan dari masa ke semasa.